Sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh dan lebih 211 lagi cedera dalam dua kejadian letupan berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimanidi bandar Kerman, Iran, semalam.
Negara itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai serangan pengganas.
Lapor agensi berita IRNA, letupan tersebut berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS).
“Letupan pertama berlaku dalam jarak 700 meter dari kubur Soleimani, manakala yang kedua berlaku 1 kilometer dari kawasan tersebut semasa pengunjung melawat tapak kubur itu,” jelasnya.
Agensi berita Tasnim pula melaporkan, “dua beg membawa bom meledak dan pengganas meletupkan bom itu dengan alat kawalan jauh”.
Menteri Dalam Negeri Iran, Ahmad Vahidi berkata, letupan pertama berlaku pada pukul 3.00 petang waktu tempatan dan letupan kedua berlaku 20 minit kemudian.
Sehingga kini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Staf untuk Hal Ehwal Politik Presiden Iran, Mohammad Jamshidi berkata, negaranya percaya serangan berkenaan mempunyai kaitan dengan Israel dan AS.
Ia selepas seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden menuduh serangan di bandar Kerman itu seperti ‘kelihatan’ oleh Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
“Washington kata AS dan Israel tidak berperanan dalam serangan pengganas di Kerman, Iran. Betulkah?
“A fox smells its own lair first (Orang yang salah akan tuduh orang lain terlebih dahulu untuk tutup kesalahannya).
“Tiada keraguan lain. Tanggungjawab jenayah ini terletak pada rejim AS dan Zionis (Israel) dan keganasan adalah sebuah ‘alat’ buat mereka,” bidasnya menerusi laman X. -AFP