Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited dalam usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Isu melibatkan ruang lingkup bersama kedua-dua kementerian itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di Putrajaya.

Perkara yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkenaan kes eksploitasi pekerja asing.

“Pertemuan petang tadi memfokuskan isu yang melibatkan ruang lingkup bersama KDN dan KSM iaitu hal pengurusan pekerja asing.

“Isu hangat melibatkan kes eksploitasi pekerja asing menjadi topik serius yang dibincangkan, selain rancangan masa depan bagi 2024 terkait elemen penambahbaikan dalam aspek pengurusan pekerja asing di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Saifuddin berkata beberapa perkara lain yang berkaitan turut disentuh selain kedua-dua kementerian bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan terhadap isu berbangkit.

Terdahulu Saifuddin mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet pertama bagi tahun 2024 di Putrajaya yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Haji Ruji Haji Ubi; dan seluruh Pengurusan Tertinggi KDN, jabatan dan agensi.

“Saya begitu menghargai semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ahli mesyuarat untuk bersama-sama menggerakkan segala perancangan dan dasar KDN serta merakyatkan program yang direncana KDN bagi tahun 2024.

“Penjawat awam tidak perlu gusar lagi akan trend ketidaktentuan politik dan pentadbiran yang melanda negara seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Saifuddin turut menekankan berkenaan penjawat awam mempunyai ruang yang cukup baik untuk bersama-sama mengetengahkan idea demi kemaslahatan rakyat dan negara.-Berita RTM