Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat dengan lebih tepat. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu akan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih. 

Kerajaan juga mampu melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di sini.

Tambahnya, PADU juga adalah sebahagian daripada tindakan proaktif dan responsif yang dilaksanakan oleh kerajaan sejajar dengan kerangka ekonomi MADANI.

Pada masa sama, Kumpulan Pakar Bebas turut dilantik oleh kerajaan yang berperanan ‘semak dan imbang’ dalam sistem PADU bagi memastikan ia memiliki ciri-ciri keselamatan terkini dan terbaik.

“Kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk meningkatkan keselamatan serta mencegah kebocoran data, sekali gus memastikan perlindungan data peribadi pengguna,” tambahnya.

Rafizi berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem atau kebocoran maklumat terperingkat dalam pembangunan PADU.-Berita RTM