Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan dakwaan pengkritik kononnya Pangkalan Data Utama (PADU) satu pembaziran dan melibatkan kontrak bernilai ratusan juta ringgit.

PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kata Rafizi.

“Proses membina PADU ini melibatkan pembangunan sistem data yang paling besar pernah dibuat oleh sektor awam. Mungkin juga paling besar dalam sejarah negara kita.

“Ia melibatkan berpuluh perincian data iaitu nama, umur, jantina, isi rumah dan lain-lain bagi setiap dari 32 juta rakyat Malaysia yang membentuk ratusan juta titik data di dalam PADU.

“Jadi saya tidak terkejut bila ada suara sumbang yang menuduh kononnya pembangunan sistem PADU ini adalah satu pembaziran kerana melibatkan kontrak beratus juta ringgit. Saya memang tunggu perkara ini ditimbulkan,” katanya dalam kenyataan.

Penjawat awam yang membangunkan PADU menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.

Justeru ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baru yang diperkenalkan kerajaan, jelasnya.

Pangkalan data itu dibangunkan dalam tempoh masa yang sangat singkat iaitu tujuh bulan dari Mei hingga Disember tahun ini.

Katanya, tempoh masa pembangunan PADU yang singkat mengatasi pelaksanaan projek-projek sistem yang dikendalikan oleh pihak swasta sebelum ini dari segi keupayaan menyiapkan sistem untuk keperluan kerajaan dan rakyat dalam tempoh yang begitu singkat.

PADU menurut beliau, tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti yang selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya.

“Dari awal, saya telah lontarkan cabaran ini kepada pasukan teras dari Kementerian Ekonomi, DOSM dan MAMPU, bahawa PADU ialah satu peluang untuk membuktikan kepakaran yang ada di kalangan penjawat awam.

“Saya berdoa kewujudan PADU akan membawa perubahan besar kepada khidmat awam dari kerajaan kepada rakyat.

“Memang pasukan teras yang mengusahakan PADU akan terus berdepan dengan cabaran tetapi jika ada pujian mengenai PADU, pujian itu layaknya kepada penjawat awam,” katanya.

PADU akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa depan.- Awani