Sorting by

×

Malaysia dan Thailand sepakat bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat dua negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen bersama itu disepakati ketika pertemuan beliau bersama rakan sejawat Srettha Thavisin di Phuket, Thailand, semalam.

“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Dalam pertemuan secara santai itu, Anwar berkata, perbualan mereka juga sempat menyentuh beberapa perkara penting, antaranya terkait soal pelancongan Malaysia-Thailand.

“Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara semenanjung secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand,” katanya.

Selain itu, katanya kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Bulan lalu, Anwar turut menemui Srettha bagi meninjau perjalanan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao, Thailand.

ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao adalah sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tahun lalu, jumlah kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu ialah seramai 212,691 orang.-Harian Metro