Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pelantikan bekas menteri Belanda, Sigrid Kaag sebagai penyelaras kanan kemanusiaan dan pembinaan semula untuk Gaza.
Kaag dijangka akan memulakan tugas rasmi pada 8 Januari 2024 dan pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Selasa.
“Dalam peranan ini, beliau akan memudahkan, menyelaras, memantau dan mengesahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza,” kata PBB melalui satu kenyataan.
Bekas menteri Belanda itu juga akan mewujudkan mekanisme PBB melalui negara yang tidak terlibat dalam konflik itu bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pelantikan itu dibuat sebagai sebahagian daripada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang diterima pakai minggu lalu untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke kawasan Palestin yang diserang dengan hebat oleh Israel.
Pada Jumaat lalu, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang menyeru “langkah segera” untuk segera membenarkan akses kemanusiaan “selamat, tanpa halangan dan diperluaskan” ke Gaza.
Ia menuntut pihak-pihak yang terlibat dalam konflik membenarkan dan memudahkan penggunaan semua laluan yang ada ke dan di seluruh Semenanjung termasuk lintasan sempadan untuk memastikan kakitangan kemanusiaan dan bantuan sampai kepada penduduk awam yang memerlukan.
Hampir 21,000 penduduk Palestin di Gaza terkorban hasil serangan Israel selama 80 hari tanpa henti.
Serangan itu telah menyebabkan Gaza hancur dengan 60 peratus infrastruktur enklaf itu rosak atau musnah dan hampir dua uta penduduk kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Tel Aviv telah berikrar untuk memusnahkan kumpulan penentang Palestin dan memastikan pembebasan semua tebusan yang diambil dalam serangan Oktober.
Beberapa tebusan telah dibebaskan selepas gencatan senjata sementara pada November sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.-Agensi