Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kini dikenali dengan nama rasmi sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
KPKT dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan nama kementerian itu dipinda berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, dan nama berkenaan akan diwartakan secara rasmi bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
Menurutnya, penyediaan rumah mampu milik adalah teras utama kementerian itu, dengan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah di seluruh negara khususnya untuk golongan B40 dan M40 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Hala tuju strategik menerusi pelaksanaan visi dan misi KPKT pula akan terus diperkasakan melalui lapan fungsi utama membabitkan Perumahan Mampu Milik, Perancangan Bandar serta Pembangunan Landskap.
Selain itu, Pemerkasaan Kerajaan Tempatan, Kebombaan dan Penyelamatan, Pengurusan Sisa Pepejal, Pendayaupayaan Komuniti, serta Kredit Komuniti dan Pajak Gadai.
“KPKT komited bersama Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda dan fokus utama bagi menerajui kemakmuran komuniti bandar serta persekitaran mampan.
“Aspek daya huni rakyat akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat, dan seterusnya menjadi pemangkin kemajuan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA