Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketua sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah bergelar ‘Datuk’ antara 10 individu yang berjaya diberkas dalam satu operasi khas pada pukul 2.30 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tersebut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua sindiket berusia 40 tahun itu turut dikesan berperanan sebagai penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelindungi aktiviti haram dijalankan selain pernah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985.

Manakala, sembilan lagi ahli sindiket berumur lingkungan 36 hingga 48 tahun juga diberkas dalam beberapa siri serbuan secara serentak di Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah melibatkan Tawau dan Semporna.

“Sindiket ini dikesan telah beroperasi secara aktif dalam pengedaran dadah jenis syabu sejak tahun 2015. Hasil risikan menunjukkan sindiket merupakan sindiket terbesar di Sabah dan mempunyai jaringan pengedaran antarabangsa dan tempatan.

“Mereka mendapatkan bekalan dadah syabu dari negara jiran di semenanjung untuk diseludup ke pasaran seluruh Sabah terutamanya di pantai timur Sabah, Filipina dan Indonesia,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara.

Sindiket berkenaan dikesan memiliki pelbagai aset mewah seperti beberapa kenderaan, banglo, 12 syarikat perniagaan dalam pelbagai bidang.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula adalah mengikut akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain itu, siasatan juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

PDRM juga sedang menyiasat penglibatan sindiket dalam aktiviti penyeludupan kontraban serta barangan bersubsidi dari dalam negara ke Indonesia dan Filipina.-Berita RTM