Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seorang pemimpin UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan siasatan ke atas tokoh konglomerat, Tun Daim Zainuddin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bekas Perdana Menteri itu turut perlu disiasat susulan pengesahan SPRM bahawa  Daim disiasat penguat kuasa tersebut.

“SPRM sahkan Tun Daim disiasat kerana isu rasuah dan pengubahan wang haram. Ini berikutan Menara Ilham milik Daim disita.

“Bagaimana dengan Tun M (Mahathir)? Macam tidak munasabah dalam tempoh 22 tahun, tambah 22 bulan tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Nepotisme ke, kronisme atau salah guna kuasa dalam yang panjang itu? Anak-anak Tun M pun berniaga, Tun Daim kawan rapat. Siasatlah dulu, ada bukti dakwa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan siasatan SPRM terhadap Daim menjurus kepada bagaimana pembelian aset dan perniagaan dimilikinya.

Selain bangunan Menara Ilham yang disita, SPRM juga mengesan beberapa hartanah dikaitkan dengannya antaranya perhotelan dan perbankan.

SPRM memaklumkan bahawa mereka akan memanggil Daim Zainuddin pada masa sesuai bagi merungkai pembelian aset dan pemilikan perniagaan di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Daim tidak akan dipanggil dalam masa terdekat. – UTUSAN