Kementerian Ekonomi menerusi kerangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia merupakan antara langkah kerajaan yang sedang berjalan ketika ini selain reformasi pasaran kerja, gaji progresif, latihan dalam industri (AiI) dan pengurangan pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL).
Malah menurutnya, pelaksanaan Akta ‘Anti-Ali Baba’ juga akan membolehkan tindakan diambil terhadap rakyat di negara ini yang memberikan lesen kepada pekerja asing tanpa menepati syarat.
“Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik terhadap industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing.
“Tetapi seperti pesan saya kepada majikan dan industri, ia berlaku kerana kita tak mampu menanggungnya lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas operasi khas dibuat 1,000 anggota dan pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggempur sekitar Kompleks Kota Raya serta Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
Beliau berkata demikian mengulas operasi khas dibuat 1,000 anggota dan pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggempur sekitar Kompleks Kota Raya serta Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
Ketua Polis KL, Datuk Allaudeen Abdul Majid memaklumkan, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berpandangan, isu tersebut bermula akibat kebergantungan rakyat di negara ini terhadap pekerja asing.
“Tanya majikan, mereka kata orang kita tak nak buat dah kerja dalam industri tertentu.
“Sebahagiannya soal gaji, tapi dengan gaji minimum, ia lebih berdaya saing berbanding dulu, yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun lepas.
“Bila pekerja asing dah ramai, orang kita pula sewakan dan bagi lesen (dengan cara Ali Baba) untuk mereka buat perniagaan,” ujarnya.-Sinar Harian