Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Perak menerima cadangan daripada syarikat kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi membina sebuah universiti di Tanjung Malim.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia dimaklumkan semasa sesi pertemuan bersama pengurusan kanan syarikat tersebut pada minggu lalu.

Jelasnya, cadangan tersebut merupakan perancangan masa depan selain pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk ke Tanjung Malim menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

“Di China setiap perusahaan ada satu universiti, jadi Perak akan ada satu universiti. Universiti itu nanti akan melatih melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang TVET dan teknologi automotif. Mereka minta kita menyediakan tempat. Kita pun sudah mencadangkan tempat kepada mereka,” katanya.

Saarani berkata, menerusi kewujudan Universiti Geely itu akan ada beberapa lagi pembinaan bangunan dan institusi lain yang berkaitan dengan institusi pendidikan tersebut.

Menurutnya, Geely juga berhasrat untuk mempunyai peluang pelaburan penting di Asia Tenggara dan Perak dipilih menjadi sebagai hab.

Saarani berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak di sini, hari ini.

Seramai 61 perwakilan telah mengangkat sumpah pada sesi tersebut bagi mewakili 59 kawasan undangan negeri, satu kuota untuk golongan kelainan upaya dan satu wakil bagi orang asal.

Dewan Belia Negeri Perak bersidang selama dua hari, bermula hari ini hingga Ahad.-Berita RTM