Beberapa daerah di Kelantan dijangka dilanda banjir bermula Ahad ini hingga Isnin.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan ramalan awal banjir tersebut dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.
Daerah yang terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Menurut JPS ia membabitkan lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Gali, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak di daerah-daerah berkenaan.
JPS turut memaklumkan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangka dan penduduk di kawasan terbabit diminta berwaspada, peka dengan arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau laman Facebook PublicInfoBanjir
“JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir monsun sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai tersebut,” menurut jabatan itu.-Harian Metro