Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Keputusan syarikat-syarikat Jepun untuk melabur kira-kira RM6.56 bilion, meningkatkan pelaburan Jepun di Malaysia sekurang-kurangnya RM30 bilion tahun ini, sekali gus mencerminkan keyakinan Jepun terhadap masa depan Malaysia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelaburan bernilai tinggi itu akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi yang sama rata untuk lebih ramai rakyat Malaysia, selaras keutamaan kerajaan bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada kesudian Jepun untuk bersama-sama dengan kita dalam membina semula Malaysia,” kata Dato’ Seri Anwar, menerusi kenyataan itu.

“Saya yakin masa depan kita bersama pada 2024. Kerangka Ekonomi MADANI menzahirkan kemakmuran bersama untuk semua yang komited terhadap agenda transformasi Kerajaan MADANI. Saya optimistik sekiranya jika semua rakyat bersatu dan bekerjasama dalam merealisasikan wawasan ini, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi,” tambah Perdana Menteri.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Anwar yang juga Menteri Kewangan, usai menamatkan lawatan kerja lima hari ke Tokyo, Jepun, pada 16 hingga 21 Disember lalu.

Sempena lawatan itu, perdana menteri menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, selain menghadap Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako; pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida; dan diaspora Malaysia di Jepun.

Beliau turut berucap pada Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community-AZEC).

“Jadual perdana menteri yang padat mencerminkan betapa kukuhnya persahabatan yang terjalin dengan Jepun sejak sekian lama, dan juga kestabilan politik baharu dan prospek pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang cerah di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Perdana menteri juga telah mengadakan mesyuarat bersemuka dengan syarikat Jepun RoHM Wako, NEC Co. Ltd. (Toshiba), dan Mitsui & Co. Ltd dan turut menghadiri persidangan meja bulat dengan 25 syarikat Jepun, yang menzahirkan minat untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Lawatan itu juga memperkukuhkan hubungan diplomatik Jepun–Malaysia melalui status Perkongsian Strategik Komprehensif; kerjasama penting yang dikhaskan untuk hubungan strategik bersama Jepun.

Produk pertama hasil Perkongsian Strategik Komprehensif baharu itu ialah Geran Bantuan Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (OSA) sebanyak 400 juta yen (RM13 juta) dari Jepun untuk meningkatkan keselamatan maritim Malaysia.

“Ini adalah tambahan kepada pakatan kerjasama yang ditandatangani antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA),” jelas kenyataan itu.

Bawah jalinan perhubungan baharu yang diperkukuh itu, kerjasama antara Jepun dan Malaysia dijangka berkembang luas, merentasi bidang ekonomi, pertahanan, sains, teknologi, inovasi, alam sekitar dan budaya.

Sebagai rekod, ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Jepun sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022. Semasa lawatan itu, perdana menteri turut ditemani delegasi kepimpinan tertinggi Malaysia termasuk Menteri Luar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan lain.-Berita RTM