Kerajaan memutuskan keputusan bagi mengadakan sekatan dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Melalui Kementerian Pengangkutan, tindakan segera akan diambil dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa empat minggu dari sekarang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam satu kenyataan media disiarkan pada hari ini.
”Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” tegasnya.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.
”Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” ujar beliau.
Pada masa sama, kerajaan katanya turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
Selain itu, tegas beliau, Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
”Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta.
Malaysia yakin keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” tambahnya lagi.