Tindakan Malaysia menyekat kapal Israel dari berlabuh di negara ini merupakan isyarat jelas kerajaan tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Malaysia tidak sesekali akan bersekongkol dalam usaha membantu Israel dari segi ekonomi.
“Saya lihat ini adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penegasan tentang beberapa isu melibatkan Israel.
“Keutamaan kerajaan sekarang adalah konsisten dari segi dasar dan komitmen untuk memperjuangkan nasib rakyat Gaza.
“Saya tidak jangka ini (sekatan) akan menjejaskan operasi perkapalan dan penggunaan pelabuhan. Saya minta maaf saya tidak ada angka spesifik berapa peratus daripada syarikat yang berlabuh di pelabuhan-pelabuhan kita destinasinya dari Israel (atau ke Israel) tetapi saya percaya jumlahnya tidak terlalu besar dan semestinya pihak kerajaan akan meneliti dari semasa ke semasa tentang isu ini,” katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Sinema Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Terdahulu, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan keputusan Kabinet pada 2002 dan 2005 untuk membenarkan syarikat perkapalan Israel, ZIM berlabuh di Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan oleh Anwar melalui kenyataan yang mana Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuatkuasa serta merta.
Anwar berkata sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.-Berita RTM