Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) serta peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan ketika ini berbanding cadangan untuk melaksana pilihan raya PBT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga perlu kepada perbincangan lebih mendalam, membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Saya mengambil maklum dan menerima baik semua pandangan dan cadangan dikemukakan oleh semua pihak. Namun perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini perlu untuk perbincangan yang lebih mendalam sebelum apa-apa keputusan berkaitan dengannya diambil.

“Perkara yang lebih mendasar dalam hal PBT ini adalah seperti pemilihan AJK (jawatankuasa) dan tata kelola bagi JMB atau ‘Management Corporation’ bagi bangunan-bangunan strata di Wilayah Persekutuan.

“Perkara asas seperti ini perlu diberi keutamaan terlebih dahulu, sebelum kita bincang berkenaan pilihan raya PBT ini,” katanya dalam kenyataan mengulas cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, supaya kerajaan memulakan pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan Kok Wai itu dikritik pelbagai pihak termasuk dari kalangan pemimpin UMNO yang menyifatkan ia berbaur provokasi.

Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana jawatan Datuk Bandar atau Yang Dipertua, termasuk Ahli Majlis PBT dilantik kerajaan negeri.-BH Online