Proses pengeluaran padi oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semakin rancak sekaligus memulihkan krisis bekalan padi tempatan.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tuaian pada pada penghujung tahun sudah mula diproses di kilang-kilang bagi pasaran.
“Penyelesaian (krisis bekalan padi tempatan) sedang diusahakan untuk mencukupkan bekalan sebab yang baharu tuai sekarang dalam proses pengilangan.
“Isu ini sudah reda (berkurang). Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kebun komuniti AU2, Taman Keramat, hari ini.
Oktober lalu, Mohamad melaporkan, jumlah stok beras tempatan semakin berkurangan jika dibanding pada September namun jumlahnya masih mencukupi.
Malah stok beras tempatan sehingga 3 Oktober adalah sebanyak 820,482 tan metrik.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, isu keterjaminan makanan tidak ada jalan penamat termasuk bekalan ayam dan telur.
Tambahnya, kebarangkalian selepas ini berlaku kekurangan bawang.
“Reda masalah beras, mai (datang masalah kekurangan) bawang pula, masalah makanan tidak akan terhenti, akan ada selalu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru agar rakyat negara ini memohon peruntukan untuk kebun komuniti di seluruh negara.
Jelasnya, sebanyak RM1 bilion diperuntukan Jabatan Perdana Menteri di bawah Belanjawan 2024 bagi memastikan program kebun komuniti berjalan lancar.
“RM1 bilion itu untuk projek komuniti seperti itu kerajaan sudah peruntukkan jadi kena mohon awal kerana boleh berbelanja mulai Januari.
“Ia bergantung kepada kawasan Parlimen, kalau Parlimen lain tidak mohon seperti Parlimen Bukit Bintang dia tidak ada kawasan lapang, dan bergantung kepada peruntukan,” katanya.
Dalam Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion dibawah Dana Komuniti Madani untuk membantu setiap kampung dan kawasan penempatan komuniti bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing. – MalaysiaGazette