Tapak Pekan Sehari Temerloh sepanjang 2.2 kilometer yang terletak di sini, akan diangkat sebagai tapak warisan negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak pekan sehari yang sudah wujud sekitar tahun 1870 itu, mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri.
Menurutnya, lokasi tapak peniaga yang wujud sejak 150 tahun itu merupakan pusat sehenti penduduk untuk menjual hasil pertanian yang melibatkan peniaga dari daerah Temerloh, Jerantut, Bera, dan Kuala Krau.
“Tadi saya baru berbincang dengan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Temerloh,Tuan Suris Mihat sekarang ini akan dibuat permohonan untuk dijadikan satu tapak warisan, sebab kita tidak dapat dah tempat lain, kerana itu kita perlu jaga pekan sehari ni, jadi saya minta juga daripada segi kebersihan mesti diutamakan dan pada masa sama walaupun ada peningkatan tetapi warisan harus dikekalkan, tradisinya itu yang menarik minat orang ramai datang ke ekan Sehari Temerloh,” kata Wan Rosdy kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Cashless Pekan Sehari Temerloh, di sini.
Pada majlis sama, Pekan Sehari tersebut turut diberi pengiktirafan sebagai Pekan Sehari Terpanjang, dan Peniaga Paling Ramai oleh Malaysia Book Of Record (MBOR).
Pekan Sehari sepanjang 2,153 meter yang dibuka pada setiap Ahad itu mempunyai 607 peniaga, dengan catatan 7,000 pengunjung setiap minggu.
Sementara itu katanya, bagi merapatkan jurang digital kepada masyarakat di kawasan luar bandar, kerajaan Negeri Pahang akan memperluas aplikasi penggunaan bayaran tanpa tunai.
Tambahnya, kaedah tersebut juga berupaya membantu peniaga membendung ketirisan dalam perniagaan.
“Dan apa yang menariknya penerimaan masyarakat setempat itu begitu cepat, mereka boleh menerima ataupun menolak. Perkara disebabkan adakalanya kita sudah biasa hari nak berniaga kita membawa wang tunai, tetapi yang ini kita tidak perlu bawa duit, kebaikannya sangat banyak terutama ketirisan kebocoran, kemudian kita dapat tahu angka sebenar transaksi pada hari tersebut. Dan insya-Allah kita akan menuju ke arah 100% tanpa tunai dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan kutipan tabung Pahang4Palestine 2.0 bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat serangan rejim Zionis Israel, berjaya mengumpul RM1.9 juta sejak dilancarkan pada 28 Oktober lepas.
Beliau yang mengucapkan terima kasih kepada semua penderma atas sumbangan luar biasa itu, berkata tabung tersebut masih dibuka dan kerajaan negeri menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta.
“Kita masih mengalu-alukan sumbangan dan bila tiba masanya kita akan berbincang dengan Kementerian Luar Negeri bagi penyaluran sumbangan. Kita mencadangkan supaya sumbangan diberi dalam dua bentuk iaitu wang tunai dan barangan seperti ubat-ubatan.
“Saya beri jaminan kepada penderma bahawa sumbangan ini, Insya-Allah akan sampai ke tangan rakyat Palestin. Kita tidak melalui orang tengah supaya tidak berlaku salah guna sumbangan yang disampaikan rakyat,” katanya.-Berita RTM