Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai pemimpin Asean lain pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun, antara acara utama pada lawatan lima hari ke Jepun.
Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu. Sidang itu turut dihadiri Timor Leste.
Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmao menjadi orang pertama tiba dan Perdana Menteri menjadi pemimpin Asean kelima tiba pada mesyuarat itu,. Semua pemimpin negara Asean disambut Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.
Sidang kemuncak setengah hari itu bermula pada 9.30 pagi (waktu tempatan) di Hotel Okura dan pada akhir sidang kemuncak, pemimpin akan mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya pada 1.35 tengah hari.
Turut bersama Anwar pada sidang itu, Menteri Luar Dato’ Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin, Duta Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany dan Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan Asean Zanariah Zainal Abidin.
Sidang itu adalah kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog Asean-Jepun. Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia pada Februari dan di Tokyo pada Mac.
Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek dianjurkan pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu. Ini termasuk Minggu Perniagaan Asean-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman Asean-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan Asean-Jepun pada Oktober.
Selepas sesi pertama, Anwar yang tiba di sini pada Jumaat, dijangka mengadakan pertemuan dua hala ringkas di luar acara bersama Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pada 11.20 pagi, sebelum sesi kedua diteruskan pada 11.50 pagi.
Pada sebelah petang, Anwar akan ditemu bual dua media Jepun: Biro Jakarta Asahi Shimbun pada 3.30 petang dan Nihon Keizai Shimbun pada 4:15 petang.
Perdana menteri bersama isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan menghadiri Pre-Gala Commemorative Lighting Ceremony, diikuti majlis makan malam pada 7 malam, di hotel sama sidang kemuncak itu diadakan.