Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, yang maut akibat dilanggar kereta berhampiran sekolah, semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati ekoran insiden berkenaan dan bersedia membantu memberi khidmat sokongan kepada keluarga arwah pelajar itu sekiranya diperlukan.

“Kes ini membabitkan pelajar sekolah dan saya ingin merakamkan ucapan takziah. Difahamkan kes masih dalam siasatan dan berharap (pihak berwajib) dapat menyegerakannya.

“Pada masa sama, dalam konteks KPM, kita juga menawarkan sokongan dari segi kaunseling sekiranya diperlukan keluarga Allahyarham apabila tragedi ini saya fikir agak menyayat hati.

“Selain itu, ada anak-anak (pelajar) lain berada di lokasi dan turut melihat kejadian terbabit, maka kita akan bantu (kaunseling) bagi mereka yang terkesan,” katanya.

Pada masa sama, KPM berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak berwajib berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Program Rintis Steam dan Makmal Steam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng di Sungai Udang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Timbalan Menterinya, Wong Kah Wah akan mewakili KPM untuk menziarahi keluarga mangsa petang ini.

Terdahulu media melaporkan, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari.