Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, Dr Zaliha Mustafa bertekad untuk menangani masalah berkaitan kemiskinan bandar, miskin tegar dan isu peniaga kecil.

Katanya, sejak diumumkan sebagai peneraju kementerian berkenaan, beliau telah mengenal pasti isu-isu yang perlu diberi prioriti.

Ia termasuklah menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab ekonomi dan pelancong.

“Fokus saya adalah untuk membawa misi dan visi yang sebelum ini yang dibawa Perdana Menteri. Tentunya hal-hal berkaitan kemiskinan bandar, miskin tegar ini merupakan perkara yang penting.

“Yang lain tentunya berkaitan isu seperti masalah perkampungan iaitu Kampung Baru. Isu peniaga kecil juga saya perlu utamakan selepas nama saya dipilih jadi Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Menara Seri Wilayah sebelum menghadiri taklimat dengan warga jabatan itu di Putrajaya hari ini.

Dr Zaliha dalam masa yang sama yakin akan mendapat kerjasama daripada para jabatan tersebut.

“Ini merupakan satu cabaran baru bagi saya tapi saya akan galas tanggungjawab ini.

“Saya yakin dengan kerja berpasukan daripada jabatan dan InsyaAllah kita akan maju ke depan dan memastikan Wilayah Persekutuan wilayah yang maju dan sentosa dan boleh kita tingkatkan dari sudut ekonomi dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah bersama-samanya sebelum ini.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah berikan kepercayaan dan tanggungjawab ini kepada saya untuk menerajui kementerian ini saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di KKM,” katanya lagi.

Dr Zaliha terlibat dalam rombakan Kabinet baru-baru ini dan beliau ditukarkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang sebelum ini merupakan Menteri Kesihatan. – MalaysiaGazette