Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Empat lagi rakyat Palestin maut di bandar Jenin di Tebing Barat akibat dibom tentera Israel pada Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Kementerian itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai kematian yang dilaporkan, namun Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata kesemua mangsa terbunuh dalam serangan dron di Kota Lama.

Keganasan telah meningkat di wilayah yang diduduki selepas perang meletus antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, dengan kira-kira 270 rakyat Palestin terbunuh oleh serangan tembakan dan penjajah Israel di sana sejak 7 Oktober.

Seorang jurugambar AFP melihat kenderaan tentera Israel memasuki kem pelarian Jenin pada Selasa dan sebuah dron terbang di atas.

Tentera Israel “terus menyerbu kem Jenin dan petugas kesihatan serta ambulans dihalang daripada memasuki kawasan tersebut tanpa mendapatkan izin terlebih dahulu”, kata Bulan Sabit Merah dalam satu kenyataan.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Arab-Israel 1967.

Bandar Jenin dan kem pelariannya telah menyaksikan Israel acap kali melancarkan serangan, dengan berpuluh-puluh orang terbunuh tahun ini, termasuk kanak-kanak.

Angka kematian di Tebing Barat sejak permulaan perang Israel-Hamas kini melebihi 235 orang, kebanyakannya rakyat Palestin.-AFP