Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mahkamah Madrid akan mendakwa penimbang tara yang bertanggungjawab dalam menganugerahkan pampasan sebanyak AS$ 14.9 bilion (RM 62.59 bilion) daripada Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu iaitu Gonzalo Stampa.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Gonzalo bakal berdepan menghadapi tuduhan jenayah menghina mahkamah yang serius serta amalan profesion tanpa kelayakan.

Sebelumnya, Gonzalo Stampa didakwa secara terbuka telah berkali-kali ingkar perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol.

“Gonzalo Stampa telah berkali-kali diberitahu kuasanya sebagai penimbang tara telah ditarik balik namun masih membuat keputusan pemberian anugerah selepas berpindah ke Paris, Perancis. Dia dibayar AS$ 2,500,000 untuk keputusan tersebut.

“Tindakannya dibuat tidak mengikut sistem penimbang tara antrabangsa,” katanya melalui satu ciapan di laman X miliknya hari ini.

Kata Azalina lagi, pendakwaan terhadap Gonzalo Stampa oleh Mahkamah Madrid sebenarnya akan menjadi permulaan keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia yang menjadi mangsa berkaitan penipuan melibatkan AS$ 14.9 bilion.

Malaysia mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem keadilan di Sepanyol, jelas beliau lagi.

Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar anugerah yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu pada Jun tahun ini.

Gonzalo Stampa telah memberikan anugerah akhir sebanyak AS$ 14.9 bilion kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Ketika ini juga Malaysia dalam proses membatalkan anugerah akhir bernilai AS$ 14.9 bilion atau RM 62.59 bilion dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu yang diberikan oleh Stampa. – MalaysiaGazette