Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang menyiasat dakwaan berlaku kebocoran data melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pihaknya memberi masa kepada agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai hal  tersebut.

“..kerana kadang-kadang maklumat yang dipaparkan dalam laman ‘dark web’, ia adalah maklumat lama yang telah ‘dibungkus’ semula dan dipersembahkan semula seolah-olah maklumat itu baharu. Tetapi saya akan dapatkan maklumat, dan insya-Allah pejabat saya akan keluarkan kenyataan kemudian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini ,hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa data peribadi daripada PERKESO dibocorkan di sebuah forum pada 5 Disember lalu.

Data tersebut melibatkan nama penuh, nombor kad pengenalan, jantina, e-mel, tempat tinggal dan beberapa transaksi perbankan.

Terdahulu, PERKESO dalam kenyataannya memaklumkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang pertubuhan tersebut diserang penggodam sejak Sabtu lalu.

Jelas PERKESO, pelan pengurusan krisis diaktifkan pada hari sama, dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pula, Fahmi berkata, seramai 200,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjuran yang bermula hari ini.

Ujarnya, ia program signifikan untuk rakyat mendapatkan informasi dari semua kementerian dan agensi yang terlibat. 

“Kita jangkakan sepanjang tiga hari ini jumlah yang akan hadir boleh mencecah sehingga 200,000 orang. Kita amat alu-alukan kalau dilihat suasananya sangat meriah dan ramai yang datang untuk mengenali dengan lebih dekat sama ada usaha kementerian yang berbeza , program yang dilaksana oleh agensi- agensi serta manfaat yang boleh mereka peroleh,” katanya.

Hari pertama menyaksikan lebih 20,000 pengunjung hadir seawal 8 pagi dengan pelbagai aktiviti dan pameran diadakan.  

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berharap rakyat dapat memanfaatkan penganjuran Program seumpama ini khususnya dalam melihat sendiri kad laporan kerajaan, selain menerima faedah dan kemudahan yang disediakan.-Berita RTM