Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan rayuan bagi permohonan eMadani yang ditolak sebelum ini, walaupun layak memohon.
Pengumuman mengenai rayuan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat dan akan mengutamakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perbandingan data juga akan dilakukan antara jumlah penerima STR dan eMadani bagi memperbaiki permohonan itu.
“Tujuan eMadani untuk menggalakkan kewangan digital, ekonomi digital. Kita juga menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan kita juga ingin menggalakkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk dibantu,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan tapak projek Kolej Komuniti Pontian di Benut, di sini.
Rabu lepas, Kementerian Kewangan telah mengadakan mesyuarat berhubung E-Madani yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, sebanyak 6.5 juta permohonan bantuan kredit eMadani diluluskan dan dikreditkan kepada penerima, sejak ia mula dibuka kepada orang ramai pada 4 Disember lalu.
Sementara itu, satu Kolej Komuniti Pontian di Benut, Pontian, Johor dengan kawasan seluas lapan ekar bakal dibina.
Projek itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dengan kos RM32 juta.
Ia bakal memfokuskan Agro Teknologi Pertanian Lestari memandangkan kawasan itu berhubung kait dengan pertanian.-Berita RTM