Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 4,530 orang daripada 1,462 keluarga setakat 9 malam ini berikutan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dibuka hari ini.

Kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di 12 PPS di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala dua PPS di Bachok ditutup sepenuhnya petang tadi.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas bertambah kepada 4,511 orang daripada 1,454 keluarga yang berada di 11 PPS berbanding 3,016 petang tadi dan seramai 19 mangsa daripada lapan keluarga berada di satu PPS di Tanah Merah.

Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.17 meter (m) berbanding paras normal 5m.

Dua lagi sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan bacaan 2.27m berbanding paras normal 0.7m dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dengan bacaan 1.51m berbanding paras normal 1.3m.-Harian Metro Online