Malaysia yakin akan dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2024-2025 .
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia akan menjamin komitmen dan aspirasi negara untuk mengekalkan lautan dan dunia perkapalan yang selamat dan efisien.
Tambah Anthony, tahun ini merupakan tahun ke-17 Malaysia sebagai anggota aktif Majlis IMO di mana usaha-usaha dan komitmennya terhadap dunia maritim dan perkapalan telah melonjakkan dan mengharumkan nama negara.
“Kita sebagai ahli majlis telah memainkan peranan untuk membantu segala bentuk latihan-latihan teknikal kepada negara-negara membangun dan negara-negara kepulauan.
“Ini memang satu insiatif yang penting. Bukan sahaja kita dapat memberi bantuan dari segi latihan teknikal, tetapi ia juga menunjukkan bahawa kita memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting dalam dunia.
“Ini juga secara tidak langsung mengharumkan nama negara secara keseluruhannya memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan dunia luar”, katanya di sini.
Anthony Loke berada di London untuk menghadiri perhimpunan agong IMO ke 33 dan sedang melobi sokongan lebih 170 negara anggota pertubuhan ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya tinggi Malaysia di United Kingdom, Dato Zakri Jaafar dan Setiausaha agong IMO Kitack Lim.
Pengundian dan keputusan akan diadakan di ibu pejabat IMO di London esok .-RTM