Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka akan memerlukan 30 peratus pelaburan awam manakala selebihnya merupakan pelaburan swasta.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah berkenaan turut melibatkan pelaburan dalam negara dan pelaburan asing.

“Nilai pelaburan yang unjurkan menerusi pelaburan awam adalah tertumpu kepada pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur grid.

“Manakala pelaburan swasta yang merangkumi pelaburan dalam penghasilan tenaga, penyimpanan bateri, dan teknologi berkaitan penangkapan karbon akan dijangka akan diperolehi daripada pelaburan sektor swasta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad (Barisan Nasional) mengenai jumlah dan perincian terbaharu pelaburan langsung asing dalam sektor Tenaga Boleh Baharu bagi menjayakan NETR.

Sehingga kini program-program di bawah pelan berkenaan masih di peringkat perancangan dan sedang dimuktamadkan sebelum pihak pemegang taruh berkenaan memeterai perjanjian, tambah Nik Nazmi.

Pelaksanaan dan pencapaian semua program di bawah inisiatif pelan tersebut turut akan dipantau dan dilaporkan oleh Jawatankuasa Peralihan Tenaga Kebangsaan (National Committee on Energy Transition – NCET).

“Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh YB Menteri Ekonomi dan yang mana NRECC merupakan salah satu daripada Kementerian yang terlibat dengan pelaksanaan NETR ini,” tambah beliau.

Jumlah pelaburan yang diperlukan bagi menjayakan hasrat pelan hala tuju tersebut berjumlah RM 1.2 trilion hingga tahun 2050.

Pelaburan yang dikhususkan bagi bidang Tenaga Boleh Baharu dianggarkan berjumlah RM445 billion sehingga tahun 2050.-MalaysiaGazette