Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan kerja sehari beliau ke Sadao, DI Selatan Thailand adalah antara usaha bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala, untuk memajukan dan membangunkan kawasan Utara Semenanjung dan Selatan Thailand.

Beliau berkata dalam lawatan itu beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin, dan antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu adalah mengenai manfaat bersama dalam meningkatkan sektor pelancongan dan kerjasama dalam industri halal.

“Perdana Menteri Thailand lebih tunjuk keprihatinan, katanya pelancong Malaysia ke Thailand lebih tinggi daripada Thailand ke Malaysia, jadi beliau mengarahkan Menteri Pelancongan Thailand.. dan saya minta Menteri Pelancongan Malaysia, adakan pertemuan supaya dua-dua negara dapat faedah yang baik.

“Maknanya ada sinergi kedua-dua negara meningkatkan jumlah pelancongan kedua-dua negara, termasuk kawasan Selatan Thailand, Langkawi, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“…beliau (Sreta Thavisin) mengarahkan Menteri Pelancongan supaya pastikan manfaat yang dapat di Phuket juga dapat diagihkan sebahagiannya ke Langkawi, ada sinergi itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas lawatan kerja berkenaan hari ini.

Mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam industri halal bagi kedua-dua negara pula, Anwar berkata Malaysia mempunyai kekuatan dari segi pensijilan halal negara ini yang diiktiraf dunia, manakala Thailand mempunyai kelebihan dalam aspek penghasilan produk makanan.