Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kerajaan bersedia meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi menampung kerugian rakyat sekiranya penyusunan semula subsidi memberi kesan khususnya kepada golongan rentan dan miskin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sejak pengapungan harga ayam dilaksanakan 1 Nov lepas ia didapati berhasil dan beliau yakin penyasaran semula subsidi yang akan dilaksanakan tidak memberi kesan kepada 90 peratus rakyat.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata ia memandangkan penarikan subsidi itu hanya melibatkan 10 peratus golongan “maha kaya” dan 3.5 juta warga asing yang selama ini menikmati pemberian subsidi kerajaan.

“Subsidi kepenggunaan pada 2022 sahaja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, gas asli cecair (LNG), minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah. 

“Untuk 2023 pula, subsidi mencecah RM81 bilion kalau tidak ditangani segera. Pendekatan subsidi bersasar akan terus diambil, tetapi kerajaan tetap menyediakan jaringan keselamatan yang lebih efektif untuk golongan rentan dan miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 2,734 perwakilan dan 1,500 pemerhati, serta pimpinan utama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dan perwakilan kedutaan asing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam ini,

Tiada kerajaan, katanya yang mampu meneruskan amalan pemberian subsidi, namun beliau berpendirian subsidi yang ditarik tidak seharusnya membebankan rakyat.

Beliau berkata pendekatan baharu yang diambil Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi negara ini, dilakukan agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang kuat, hebat dan dihormati di rantau serta dikenali di dunia sebagai negara yang mampu mengurus ekonomi dengan baik dan cemerlang.

Menurutnya usaha itu dicerakin dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, Pelan Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), dalam kedua-dua Belanjawan MADANI serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kita telah meletak dasar untuk memacu ekonomi (negara) tetapi terarah kepada isu keutamaan rakyat, sebab itu masalah yang mula diselesaikan adalah masalah sekolah dan klinik daif, serta menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata tumpuan turut diberikan kepada soal perumahan rakyat dan penjawat awam selain memperkasakan ekonomi kampung, desa, rumah panjang dan perumahan rakyat kota dengan peruntukan dana antara RM50,000 hingga RM100,000.

“Kita komited mengubah pendekatan pembangunan ekonomi supaya tidak sisihkan kepentingan rakyat di peringkat bawah. Kita datang dengan agenda, tidak dengan slogan maki hamun, sebab itu kita lebih yakin,” katanya.

Beliau berkata pelabur juga semakin yakin dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan lebih banyak syarikat dari negara luar seperti China dan Jerman melabur di negara ini selain pelaburan baharu daripada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 yang dihadiri beliau baru-baru ini.

“Sehingga September 2023 kita berjaya menarik dan meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion. Semua ini berlaku dalam keadaan ekonomi meruncing dan (Kerajaan Perpaduan) ambil alih negara dengan hutang RM1.5 trilion dan defisit membengkak 5.6 peratus,” katanya.