Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sejumlah 63 tebusan dalam konflik perang antara kumpulan pejuang Hamas dan Israel dibebaskan semalam.

Hamas membebaskan 24 tebusan, manakala Israel membebaskan 39 tahanan Palestin selepas gencatan senjata Israel-Hamas yang dirunding oleh Qatar berkuat kuasa.

Kanak-kanak Palestin mengibarkan bendera ketika menyambut baik pembebasan tahanan rakyat Palestin oleh Israel. Foto: Agensi

Menurut jurucakap Kementerian Luar di Qatar, Majed Al-Ansari, antara tawanan yang dibebaskan ialah 13 warga Israel, 10 warga Thailand dan seorang warga Filipina, menurut laporan Anadolu Agency (AA).

Pembebasan 24 tawanan yang dijadikan tebusan oleh Hamas semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, dibuat selepas perjanjian antara Israel dan Hamas, termasuk gencatan senjata selama empat hari dan pertukaran tawanan untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Beliau berkata, 39 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel juga sudah dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Bulan Sabit Merah (ICRC) di Israel berkata bahawa kumpulan tebusan dari Palestin sudah dipindahkan ke sempadan Rafah.

Tawanan Israel pula telah kembali ke wilayah Israel di mana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bersatu semula dengan keluarga mereka.

Menurut perjanjian yang ditaja oleh Qatar, Hamas akan membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak, daripada kira-kira 240 orang yang ditawan oleh kumpulan itu semasa serangan ke atas Israel Selatan pada 7 Oktober.

Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan sejumlah 150 wanita dan kanak-kanak Palestin ditahan di penjara Israel, yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai mangsa pendudukan Israel. – AGENSI