Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2023 menyaksikan idealisme perjuangan sayap parti itu perlu berubah kerana sudah menjadi nadi penggerak kepada kerajaan yang memerintah.

Ketuanya, Adam Adli Abd Halim berkata, apa yang diperjuangkan hari ini tidak boleh lagi sekadar dilontarkan dengan mendesak dan bersuara.

Menurutnya, dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan, tidak kira dalam berjawatan atau tidak, sayap parti tidak boleh lagi hanya menjadi pencadang, sebaliknya harus ikut sama-sama jadi pelaksana.

“Apabila menyinggung soal melaksana ternyata ianya jauh sukar dari yang dijangka.

“Setahun berlalu, biar pun kita boleh menarik nafas lega melihat kestabilan kepimpinan yang kini sedang dikecapi oleh Kerajaan Perpaduan biar diasak kiri dan kanan muncul cabaran lain yang jauh lebih berbisa.

“Dasar dan polisi boleh kita gariskan secantik-cantik bahasa dan setepat-tepat angka namun apakah masyarakat kita benar-benar bersedia? Tidak perlu pandang terlalu jauh – biar soalan ini dilontarkan dahulu dalam kalangan kita.

“Apakah kita juga cukup yakin dan sedia dengan arah yang sedang dilakar oleh kita sendiri?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Dasar Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 di di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya pada Sabtu.

Jelasnya, ini bukan lagi zaman untuk membangkang semata-mata sebaliknya zaman untuk jadi pelaksana.

“Ini bukan zaman untuk mencapai kemenangan, ini zaman untuk kita mengisi kemenangan.

“Tidak adil andai saya hanya memohon saudara-saudari untuk mengisi kemenangan tersebut, tanpa meletakkan asas dan duduk perkara yang boleh sama-sama kita usahakan.

Katanya, selain memperkasakan AMK dari sudut material yang boleh memastikan gerak kerja tidak tinggal hanya sebagai buah fikiran dan omong-omongan, AMK harus memperkasakan diri dari sudut lain.

“Untuk kita kekal dalam medan ini dan pastikan kita mampu terus bergerak, terutama sekali untuk mengisi kemenangan yang diamanahkan kepada kita hari ini, kita harus punya ideologi yang jelas baik dari segi siasah politik dan pemahaman ekonomi agar kita ada pedoman saat punya segala, dan saat tidak punya apa-apa,” katanya.

“AMK harus sedia menerima tanggungjawab yang amat berat dan tidak mudah.

“Sebagai pendukung utama kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya menjadi tugas buat kita muncul sebagai mata dan telinga yang menyambung suara anak-anak muda di luar sana,” katanya.-Sinar Harian