Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti, yang dijangka berlangsung sebelum hujung 2024.

“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

“Maka dengar, pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin nyatakan tak akan pertahankan jawatan presiden pada pemilihan akan datang,” katanya disambut laungan “tidak…tarik balik Tan Sri” oleh perwakilan.

Sebahagian besar perwakilan juga dilihat mengalirkan air mata dengan pengumuman itu.

“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu meminta pemimpin kanan Bersatu bermusyawarah (berbincang) terlebih dahulu bagi memastikan tokoh berpengalaman luas dalam parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan baharu nanti.

“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik.” katanya.