Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sarawak sudah memperoleh enam daripada 13 perkara yang dituntut daripada Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kejayaan itu hasil rundingan secara berterusan di antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menyifatkan, apa yang diperoleh setakat ini sebagai pencapaian yang hebat dan kerajaan Sarawak akan terus berunding bagi mendapatkan baki tuntutan seperti termaktub dalam MA63.

“Perkara pertama yang diluluskan Kerajaan Persekutuan ialah mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963 melalui pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 2021.

“Yang kedua pula ialah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda khususnya pindaan kepada tafsiran ungkapan “Persekutuan” dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggabungkan MA 63 dan lampirannya sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, perkara ketiga ialah pindaan kepada Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan tafsiran ‘anak negeri’ yang lebih lengkap bagi memastikan tiada kaum tercicir.

“Berikutan itu, Ordinan Tafsiran, 2005 (Cap. 61) dipinda pada Februari 2022 untuk mengemas kini senarai penduduk asal yang diiktiraf di negeri ini.

“Pindaan itu juga membolehkan kanak-kanak hasil perkahwinan campur dengan salah seorang ibu bapanya adalah anak jati, diiktiraf sebagai anak jati tertakluk kepada syarat dan keperluan yang dikenakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak juga berjaya dalam tuntutannya mempunyai wakil di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perenggan 24 (1) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak juga diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal mengikut Arahan Perbendaharaan 182 yang memberi kuasa bagi mentadbir projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dengan had nilai projek yang tidak melebihi RM50 juta.

“Pengiktirafan itu turut diperluaskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, jumlah pemberian khas kepada kerajaan Sarawak juga sudah ditingkatkan sehingga RM300 juta sebagai bayaran interim mulai 2023.

“Pemberian interim itu akan diterima pakai sehingga satu formula dimuktamadkan dan jumlah baharu boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan Sarawak sudah mengemukakan kertas cadangan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk menambah bilangan wakil Sarawak di Dewan Rakyat sehingga 35 peratus daripada 222 jumlah keseluruhan.

Kerajaan Sarawak berharap cadangan untuk menambah bilangan wakil dari Sarawak dan Sabah akan direalisasikan dan selepas itu pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi memastikan perwakilan seimbang di Dewan Rakyat sesuai dengan semangat dan hasrat pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.