Sorting by

×

Perkembangan dan pembangunan industri perabot hijau berpotensi menjadikan industri itu sebagai ‘the next trillion dollar business’, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata industri perabot hijau dapat meningkatkan industri perabot di Malaysia selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi hijau di negara ini.

Beliau berkata pembuatan perabot hijau yang menggunakan bahan semula jadi tidak mengandungi bahan berbahaya dan tidak melepaskan gas berbahaya, berupaya mengurangkan pencemaran alam sekitar. 

“Ini kerana penggunaan perabot merupakan keperluan pada masa kini. Ia boleh menjadi punca pencemaran kepada alam sekitar jika tidak diurus dengan sempurna.

“Saya menyarankan dalam membangunkan (industri) perabot hijau, perkara itu perlulah dilihat secara holistik kerana setiap ekosistem penghasilan perabot menyumbang kepada penghasilan jejak karbon,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 di sini, pada Selasa.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan.

Fadillah berkata usaha FRIM mengiktiraf syarikat di Malaysia dengan pengiktirafan perabot hijau di bawah Skim Pensijilan Perabot Hijau FRIM mampu membawa impak positif kepada syarikat yang terbabit dalam industri perabot hijau.

Ini kerana usaha itu mampu meningkatkan kredibiliti dan daya saing syarikat seterusnya membantunya memasarkan produk perabot hijau di pasaran domestik dan antarabangsa, katanya. 

Beliau berkata eksport perabot kayu adalah penyumbang utama kepada keseluruhan eksport industri perkayuan negara, dengan mencatatkan nilai eksport sebanyak RM11.1 bilion daripada keseluruhan eksport industri perkayuan negara iaitu RM25.2 bilion pada tahun lepas. 

“Produk perabot kayu negara mempunyai kualiti pembuatan yang tinggi dan rekaan menepati kehendak serta citarasa pengguna di peringkat global. Satu anjakan baharu diperlukan dalam segmen pembuatan perabot kayu untuk tingkatkan nilai eksport dalam pasaran,” katanya. 

Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Melestarikan Industri Ke Arah Ekonomi Kitaran’ anjuran FRIM dengan kerjasama pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) disertai lebih 200 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, peserta industri dan pegawai penyelidik dalam bidang industri itu.-Bernama