Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih mengkaji keperluan untuk melesenkan atau mendaftarkan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching berkata penelitian atau kajian itu merangkumi pelbagai perkara termasuk implikasi dari sudut dasar terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan dan perdagangan, kaedah percukaian serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.
“Pada masa ini belum ada sebarang keputusan atau pendirian yang dibuat oleh kerajaan berhubung perkara ini, bagaimanapun usaha-usaha awal telah dilaksanakan melalui beberapa siri libat urus.
“Ini bertujuan untuk membincangkan dan mendapatkan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh serta pihak berkepentingan di Malaysia berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) tentang mekanisme bagi melesenkan penyedia platform besar yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.
Teo berkata satu jawatankuasa turut dibentuk bagi meneroka dan memperincikan perkara melibatkan perundangan seterusnya mencari jalan terbaik untuk mendapatkan hasil positif kepada semua pihak termasuk industri media tempatan.
Menjawab soalan tambahan Iskandar Dzulkarnain mengenai anggaran nilai pulangan yang boleh dijana hasil pelesenan kepada penyedia platform besar itu, Teo berkata objektif utama langkah pelesenan tersebut bukan untuk menjana keuntungan.
“Saya faham soalan daripada Yang Berhormat Kuala Kangsar, bagaimana kita nak pastikan bahawa organisasi media tempatan boleh dapat kongsi keuntungan perbelanjaan pengiklanan yang sekarang diperoleh syarikat gergasi teknologi tersebut dan bukan lagi dikongsi media tempatan,” katanya.
Beliau berkata KKD berpendirian organisasi media tempatan boleh memulakan perbincangan dengan penyedia platform besar berkenaan untuk mendapatkan formula yang sesuai supaya pendapatan bagi pengiklanan itu dapat dikongsikan antara dua organisasi tersebut, seperti yang diguna pakai di Taiwan.
Kementerian, katanya, bersedia membantu kelancaran perbincangan itu dan sekiranya Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dapat diluluskan tahun depan, perkara itu antara yang boleh diteliti dan diterajui Majlis Media untuk memastikan perkongsian keuntungan daripada kandungan yang diwujudkan, dibuat dan dicipta oleh organisasi media tempatan tersebut.
Ditanya sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk mengambil langkah menamatkan perkhidmatan beli-belah dalam talian menerusi TikTok Shop seperti Indonesia bagi melindungi perniagaan tempatan, Teo berkata KKD belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu masa ini dan perbincangan dengan kementerian lain akan diadakan mengenai perkara itu.
“Saya sendiri telah mengadakan mesyuarat dengan TikTok untuk tahu bagaimana TikTok Shop beroperasi di Malaysia. Hasil daripada mesyuarat tersebut menunjukkan bahawa 96 peratus penjual di TikTok Shop adalah dari Malaysia.
“Hanya empat peratus dari luar negara dan bukan sahaja TikTok Shop atau e-vendor itu mendapat pendapatan tetapi content creator atau affiliate yang membantu suatu kedai mempromosi produk mereka, mereka juga dapat keuntungan daripada konten yang dicipta,” katanya.-Bernama