Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Meskipun sudah 125 tahun sejak ia pertama kali dimulakan, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli masih diteruskan hingga kini, seperti pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang diadakan tiga tahun sekali itu dengan kali terakhir pada 2019, merupakan acara bersejarah bertujuan mengulangi ikrar taat setia tidak berbelah bahagi Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung, kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh.

Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin berkata istiadat yang diadakan sejak semalam itu dimulakan dengan Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, diteruskan dengan Istiadat Bersiram hari ini serta upacara kemuncak iaitu Istiadat Mengadap esok.

Beliau berkata dalam Istiadat Bersiram hari ini, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat dari istana ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana yang dihela (ditarik) Pegawai 99 Istana.

“Istiadat Bersiram ini istimewa kerana hanya tiga kali sahaja berlaku iaitu semasa tuanku ditabal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga, ketika anak putera Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas istiadat itu di sini hari ini.

Perarakan itu dimulakan dengan lapan das tembakan meriam sehingga tuanku berdua naik ke Panca Persada dengan Istiadat Bersiram bermula di situ, manakala lapan das tembakan lagi dilepaskan apabila upacara itu selesai.

Upacara kemudian dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu membawa Cepu Bedak Limau dan menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di hadapan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani sebelum Orang Empat Istana mengelilingi pasangan diraja berkenaan sebanyak tujuh kali.

Setiap pusingan, setiap Orang Empat Istana akan menjunjung duli menandakan cukup satu pusingan dan setiap pusingan itu merupakan simbolik bagi memohon Allah melindungi tuanku daripada musibah bencana tujuh petala alam. 

Selesai pusingan, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman secara bergilir-gilir dan baginda berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan. 

Upacara mencelup kedua-dua tangan merupakan simbolik bagi membersihkan diri dan dari segi jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap. 

Istiadat itu dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja, kenamaan kerajaan serta masyarakat sekitar pelbagai peringkat umur yang turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah di negeri tanah beradat itu.

Penduduk setempat, Afida Mohd Zain, 62, yang baru kali pertama menyaksikan istiadat berkenaan bersama anaknya melahirkan keterujaan apabila berpeluang mengikutinya secara langsung yang disifatkan sangat unik dan tiada di negeri lain.

Nur Aryuni Allysha Hasnan, 22, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka pula berkata upacara berkenaan memberi pendedahan terutama kepada generasi muda untuk mempelajari keunikan budaya di negeri yang mengamalkan Adat Perpatih ini.

“Upacara seperti ini sangat menarik untuk dipelajari. Malah, ayah saya yang merupakan buapak juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk hadir dalam majlis adat, setiap kali ada upacara melibatkan istana memang saya akan hadir,” katanya.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun. -Bernama