Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lima sekeluarga yang dilaporkan tinggal di sebuah pondok dibina dengan menggunakan kayu hutan dan barangan terbuang di Kampung Baru Sungai Johor, di sini, akan dipindahkan ke sebuah rumah sewa atas bantuan kerajaan negeri hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata rumah sewa itu dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), manakala barangan kelengkapan rumah akan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

“Mereka ini adalah daripada keluarga asnaf, jadi bantuan saraan bulanan akan disalurkan kepada mereka.

“Selain disediakan rumah sewa, keluarga ini juga akan dibawa untuk membeli barang kelengkapan bagi persiapan mereka termasuk baju dan sebagainya untuk duduki rumah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan di pondok tersebut, di sini hari ini.

Beliau berkata keluarga itu layak untuk mendapatkan sebuah rumah baharu dan proses permohonan akan dilakukan kerajaan negeri menerusi MAINJ dan pejabat daerah.

Mohd Fared berkata kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa peka dengan masalah rakyat, sekali gus menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sehingga misi membantu keluarga tersebut berhasil.

Sementara itu, Mohd Farid Md Yusof, 30 dan isterinya Noorazlina Abdullah, 21 yang mempunyai tiga cahaya mata, meluahkan kesyukuran atas perhatian dan bantuan yang memberi sinar baharu buat keluarga mereka.

“Saya rasa sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan negeri dan semua pihak, harapan saya selepas ini adalah fokus untuk terus menyara keluarga bagi masa depan anak-anak,” katanya.

Mohd Farid yang mengambil upah menjaga kebun berkata mereka sekeluarga tinggal di pondok tersebut sejak dua bulan lepas di atas tanah pusaka.-Bernama