Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BlackBerry Ltd menandatangani perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang bersama kerajaan Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara di San Francisco, hari ini.

Menurut BlackBerry, perjanjian itu akan membolehkan kerajaan Malaysia memanfaatkan rangkaian penyelesaian keselamatan sibernya yang dipercayai sepenuhnya dan menyokong integriti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara itu dengan teknologi dan latihan keselamatan siber termaju.

“Sektor awam Malaysia akan mendapat manfaat daripada akses yang selamat, dipercayai, pada masa nyata kepada perisian dan perkhidmatan BlackBerry, yang dihoskan dalam awan berdaulat,” menurut syarikat perisian Kanada itu yang mengkhusus dalam keselamatan siber dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu menjalin kerjasama antarabangsa yang menerima pakai teknologi terkini untuk terus berkembang, makmur serta memastikan data negara dan rakyat selamat.

Beliau berkata Malaysia juga perlu menjemput pelaburan asing yang dapat meningkatkan dan melatih tenaga kerja keselamatan siber bertaraf dunia.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan BlackBerry bagi menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi contoh utama dalam daya tahan siber – dengan janji kedaulatan data, untuk maklumat, data dan komunikasi kerajaan kita,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam kenyataan yang sama.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata keselamatan siber adalah tonggak utama Strategi Indo-Pasifik Kanada, dengan objektif bagi memacu keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini.

“Keselamatan siber adalah cabaran bersama yang memerlukan kerjasama antarabangsa, sebab itu kami amat menyokong Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia, rakan kongsi dua hala penting Kanada,” katanya.

Trudeau berkata dengan menyokong pembela siber masa depan Malaysia dan mewujudkan rangkaian serantau yang lebih kukuh untuk berkongsi kepakaran antara Kanada dan Asia Tenggara, kedua-dua negara boleh mengukuhkan lagi daya tahan dan kapasiti mereka antara satu sama lain, dan dengan rantau yang lebih luas untuk menangani, menghalang dan respons terhadap ancaman siber.

Menurut kenyataan itu, perjanjian tersebut termasuk penyelesaian keselamatan siber terkemuka dunia BlackBerry yang dikuasakan oleh Cylance(R) AI untuk meramal dan mencegah serangan siber, NATO-certified BlackBerry(R) SecuSUITE(R) untuk komunikasi selamat, BlackBerry(R) UEM (Unified Endpoint Management) untuk melindungi data kerajaan dalam kalangan tenaga kerja perayauan dan BlackBerry(R) AtHoc(R) digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk pengurusan acara penting dan respons insiden.

BlackBerry turut mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) bertaraf dunia di Kuala Lumpur pada 2024, yang juga merupakan CCoE pertamanya di rantau Asia Pasifik.

“Ekonomi Malaysia yang berkembang pesat adalah pilihan strategik untuk CCoE pertama BlackBerry di rantau ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, dengan objektif menampung kekurangan 12,000 profesional siber negara, CCoE akan menawarkan latihan khusus untuk memacu kapasiti dan kesediaan keselamatan siber Malaysia

“Kerajaan Kanada mengalu-alukan penubuhan CCoE dan merancang untuk bekerjasama rapat dengan BlackBerry, kerajaan Malaysia, dan CCoE akan memberikan bantuan binaan kapasiti keselamatan siber kepada Asia Tenggara, seperti yang dimandatkan di bawah Strategi Indo-Pasifik Kanada,” katanya.

Menurut BlackBerry, CCoE akan menawarkan pendidikan dan latihan keselamatan siber serta risikan ancaman siber dan pasukan tindak balas insiden “sentiasa aktif” untuk membantu negara melindungi daripada aktiviti siber berniat jahat yang menyasarkan perniagaan, kerajaan dan infrastruktur.

“CCoE juga akan meningkatkan perkongsian risikan antara negara dan memperluas rangkaian risikan ancaman global BlackBerry,” katanya.

Presiden Keselamatan Siber BlackBerry John Giamatteo berkata CCoE di Malaysia dirangka untuk menyokong matlamat strategik Perdana Menteri dalam meningkatkan tenaga kerja keselamatan siber yang mahir dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau yang penting untuk risikan ancaman.

Giamatteo akan menyelia penggunaan penyelesaian keselamatan siber BlackBerry di Malaysia dan penubuhan CCoE BlackBerry.

Bersama Giamatteo pada majlis pemeteraian itu ialah Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Pegawai Dasar Awam BlackBerry Marjorie Dickman, yang bertanggungjawab dalam penyeliaan strategik perhubungan kerajaan global dan operasi dasar awam BlackBerry.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan ahli delegasi Malaysia lain yang menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin APEC di San Francisco. – Bernama