Maklumat salah dan palsu memudaratkan merupakan krisis semakin meningkat yang mencapai titik kritikal, menandakan keperluan segera campur tangan kerajaan dan kerjasama antarabangsa bagi mengekang keadaan itu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau menyeru syarikat teknologi, khususnya yang berkembang maju di Lembah Silikon, menjalankan tanggungjawab penting sebagai penjaga komunikasi moden.
“Mereka ditugaskan dengan dasar pelaksanaan yang menentang maklumat salah dan palsu sambil menegakkan hak kebebasan bersuara,” katanya dalam syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California di sini.
Kawasan Teluk San Francisco menempatkan banyak syarikat Fortune 500 terbesar di dunia seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, Levi Strauss dan beberapa firma paling inovatif dalam pembangunan AI (kecerdasan buatan), bioteknologi, perisian, teknologi bersih serta media sosial.
Anwar yang berada di sini untuk menghadiri mesyuarat pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2023 berkata, penting untuk melaksanakan penyelesaian teknologi termaju dan penyederhanaan kandungan manusia yang kukuh berdasarkan konteks tempatan.
“Langkah ini dan komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti penting untuk platform ini berfungsi sebagai saluran bagi dialog membina dan bukannya saluran untuk penipuan dan manipulasi.
“Ketika kita menghadapi cabaran belum pernah berlaku ini, marilah kita menghadapinya sebagai seruan jelas untuk memperkukuh dan meremajakan institusi demokratik untuk era digital.”
Beliau berkata, inilah masanya untuk menjalin perkongsian lebih kukuh dan memanfaatkan inovasi yang dapat melindungi masyarakat serta struktur kehidupan kolektif.
“Demokrasi, walaupun ada kelemahan, kekal harapan terbaik dan ketahanannya bergantung kepada kewaspadaan dan penambahbaikan berterusan, selari dedikasi mereka yang mendahului kita.” – Bernama