Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bilangan serta nilai rumah siap dibina yang tidak terjual direkodkan mencatat penurunan, membabitkan 26,286 unit bernilai RM18.3 bilion berbanding sejumlah 135,614 unit rumah yang dilancarkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata ia berdasarkan data awalan suku kedua 2023 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.

“Ia menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari segi jumlah unit dan penurunan sebanyak 0.6 peratus dari segi nilai, berbanding tempoh sama pada tahun lalu,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai usaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.

Bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat dikawal, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan sudah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan, termasuk pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

“Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median. Pemetaan ini sebagai panduan kepada pemaju dan agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemaju digalak menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebelum sesuatu pemajuan dilakukan, bagi memastikan rumah dibina berdasarkan kemampuan rakyat dan seterusnya mengelakkan ia tidak terjual.

Di samping itu, katanya, Sistem Analitis Data Raya Perumahan juga sedang dibangunkan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kementerian komited menggalakkan pembiayaan rumah melalui inisiatif i-Biaya bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di mana kerajaan memberi jaminan had pembiayaan hingga RM500,000.

“Ia termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA) atau Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian.

“Pembiayaan adalah terhad kepada rumah pertama. Bagaimanapun, pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu saja, sebaliknya termasuk rumah sedia ada atau rumah lelongan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengumuman Ekonomi MADANI, jumlah keseluruhan jaminan yang diberi kerajaan telah meningkat kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP.

“Sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 hingga 30 September 2023, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan.

“Kerajaan melalui Belanjawan 2024 mencadangkan untuk menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam,” katanya.-BH Online