Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket bagi aksi pembukaan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air yang meminta tiket dengan ‘harga rahmah’ bagi membolehkan peminat membanjiri stadium.

“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.

Foto: Berita Harian Online

“Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

“Sebaiknya boleh untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023, di sini, hari ini.

FAM sebelum ini menetapkan harga tiket bagi aksi menentang Kyrgyzstan adalah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Dalam pada itu, Hannah mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan.

“Soal hak penyiaran dikendalikan FAM, jadi saya tidak mahu komen kerana mereka ada perjanjian mereka. Tetapi apa yang KBS boleh bantu adalah kita akan selalu buat skrin gergasi supaya lebih ramai rakyat yang tidak beli tiket boleh akses di semua lokasi seluruh Malaysia,” katanya.-Berita Harian Online