Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri pertemuan bersama pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft, dan TikTok di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan, berkata pertemuan yang diatur pihak kementerian bertujuan memuktamadkan potensi pelaburan di Malaysia.
“Pertemuan ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan matlamat yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.
Anwar juga akan menyampaikan syarahan umum mengenai “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia” di Berkeley University, pada 14 Nov bersempena kehadirannya di San Francisco.
Selain itu, pertemuan dengan diaspora Malaysia yang berada di San Francisco akan dianjurkan pada 17 Nov untuk memberi peluang kepada Perdana Menteri berkongsi idea dan visinya di bawah kerangka Malaysia Madani.
Dalam pada itu, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia pada AELM ke-30 dari 14 hingga 17 Nov 2023, mencerminkan cadangan penglibatan aktif Putrajaya dalam forum serantau.
“Kehadiran Perdana Menteri mencerminkan cadangan penglibatan aktif Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 dan akan menyumbang ke arah usaha menangani isu-isu yang kritikal di peringkat serantau, terutamanya di Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merupakan forum ekonomi serantau dengan 21 ekonomi anggota.
AELM, bertemakan
“Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”, akan menyaksikan Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Luar Zambry Kadir, dan pegawai kanan kerajaan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan turut mengetuai delegasi Malaysia pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC bersama tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC.