Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangka lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang yang menyokong Perdana Menteri ketika ini adalah amat positif, dan ia harus dilihat dengan sangkaan baik.

“Kita berpandangan bahawa bukan hanya empat orang ini sahaja, tetapi kita menjangkakan mungkin lebih daripada itu, yang akan memberikan dukungan kepada Perdana Menteri….dan kita mesti bersangka baik di dalam dukungan yang diberikan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pedana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ahli Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Program Latihan TVET Belia Malaysia-China, di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata kerajaan perlu bersedia berdepan realiti politik baharu susulan perkembangan berkenaan.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata UMNO di empat bahagian yang menerima dukungan Ahli Parlimen BERSATU terbabit tidak harus berasa selesa, sebaliknya mereka perlu menguatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan sokongan pengundi.

Ahmad Zahid berkata kebanyakan Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri itu adalah bekas ahli UMNO, dan pihaknya akan berbincang dengan pemimpin di peringkat bahagian sama ada mereka boleh kembali kepada parti atau sebaliknya.

“Biarpun mereka membantu dan menyokong Perdana Menteri, UMNO sebagai sebuah entiti politik harus memperkuatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan sokongan pengundi serta rakyat kepada sesiapa sahaja yang akan dicalonkan mewakili UMNO dan BN bagi kawasan terbabit kelak,” katanya.-Bernama