Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai virus Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, OKS (orang kena saman) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

Pada 1 Oktober 2021, pemimpin Umno itu mengaku tidak bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual mengenai kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’ itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei 2021.

Lokman (tiga dari kiri) bersama peguam Logan (empat dari kiri) ketika di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes bermula 6 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.

Sementara itu, Lokman ketika ditemui media selepas prosiding berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan dan melepaskan saya daripada pertuduhan dibawah ordinan darurat selepas saya mempertikaikan kemasukan warga India ketika merebaknya varian Delta Covid 19,” katanya.

“Terima kasih kepada pihak hakim dan peguam saya yang bertungkus lumus mengasak saksi pihak pendakwaan sehingga IO sendiri mengatakan kes ini membazir masa dan saya tidak ada mengeluarkan kenyataan tidak benar,” katanya

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Lokman daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021.-Berita Harian/MP