Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemimin-pemimpin negara Islam akan mengadakan pertemuan segera bagi membincangkan isu Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia selepas melihat belum ada tanda-tanda rejim Zionis Israel mahu menghentikan serangan ke atas bumi Palestin yang setakat ini sudah membunuh ribuan nyawa.

“Kita telah hubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turkiye malah Iran juga untuk mengadakan perbincangan di kalangan kepala-kepala negara.

“Keputusan sekarang ini yang bincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman dan Presiden Turkiye dalam tempoh sehari, dua untuk  mempertemukan pemimpin Islam,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Beliau turut mengusulkan supaya pertemuan itu tidak dihadkan kepada pemimpin negara Islam sahaja.

“Saya (pada) mulanya mengusulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin negara Islam kerana Brazil, Ireland, Russia dan China itu mempunyai pendekatan lunak, pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan. Tetapi apabila berbincang dengan pemimpin (ini), belum ada konsensus (untuk) membawa negara luar Islam.

“Jadi keputusan sekarang ini, yang bincang dengan Putera Mohammed bin Salman (Putera Mahkota Arab Saudi), Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), ialah adakan (pertemuan dalam) tempoh segera, mungkin sehari dua ditetapkan beberapa tarikh mempertemukan pemimpin Islam,” katanya.

Ujar beliau lagi, belum pernah konflik di Palestin dibahas secara terbuka oleh Barat seperti  sekarang.

“Perhimpunan dan tunjuk rasa (tunjuk perasaan) ini besar sekali di Eropah,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bertemunya baru-baru ini turut mendukung supaya serangan ke atas Palestin dihentikan.

Sementara itu, Anwar berkata, hubungan baik dengan Mesir memudahkan bantuan kemanusiaan dapat segera dihantar  ke Palestin.

Penghantaran pertama bantuan kemanusiaan dari Malaysia berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas pada Jumaat lalu.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pesawat 9M-WCA yang membawa kira-kira 20 tan barangan  menerusi OPS Ihsan itu sudah selamat tiba di Mesir dan barangan itu sudah dipindahkan ke kontena untuk dibawa terus ke pintu sempadan Rafah-Gaza.