Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat kenyataan bahawa tiada sebarang tanda terdapat unsur-unsur ancaman terhadap keselamatan negara ketika ini susulan konflik Palestin-Israel.
Beliau berkata namun begitu, pihak berkuasa telah mengambil langkah untuk meningkatkan tahap kesediaan di kawasan sempadan dan pada masa sama, Polis Diraja Malaysia menjalin kerjasama rapat dengan negara jiran.
“Saya diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara ekoran pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan tiga perkara yang dilakukan oleh pasukan polis iaitu yang pertama, meningkatkan tahap siap siaga di kawalan sempadan negara.
“Kedua, kita bekerjasama rapat dengan semua negara jiran dari segi perkongsian risikan dan ketiga ialah sepanjang konflik berlaku serta sepanjang kita menguatkuasakan kawalan sempadan, laporan awal yang kita peroleh ialah keadaan adalah terkawal.
“Tiada sebarang tanda yang boleh dibuat kesimpulan bahawa wujudnya unsur ancaman terhadap keselamatan, itu penting untuk kita maklumkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga Lee Bong Heng di Mount Erskine di sini hari ini.
Saifuddin Nasution turut menambah, Malaysia merancang untuk menubuhkan sebuah entiti keselamatan siber baharu yang akan diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri dan langkah itu diambil sebagai maklum balas kerajaan terhadap potensi ancaman jenayah siber yang semakin meningkat.
“Itu adalah perkembangan yang telah kita bincang di peringkat Jemaah Menteri dan sekarang rang undang-undang tersebut dalam pembikinan… saya tak fikir ia dapat masuk dalam jadual terdekat (persidangan Dewan Rakyat), mungkin tahun depan,” katanya. -Bernama