Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia, lawatan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Oktober 2021.

Pesawat khas yang membawa Kishida dan delegasi beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 7.35 malam.

Foto: Bernama

Menyambut ketibaan Kishida ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko.

Sejurus tiba, Kishida memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Amirul Akmal Osman.

Kishida dijadual mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok dan kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Jepun-Malaysia disusuli jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

“Lawatan kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara.

“Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Kishida.

Malaysia dan Jepun meningkatkan hubungan mereka daripada Rakan Strategik Dipertingkat kepada Rakan Strategik penuh pada tahun 2015 ketika Kishida melawat Malaysia sebagai Menteri Luar.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.

Setakat Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).