Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil telah berhubung dengan Liberal International untuk meminta supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata pihaknya telah menghubungi pihak Liberal International bagi mengeluarkan kenyataan rasmi.

“PKR tidak pernah dan bukan ahli dalam Liberal International dan tidak pernah membayar apa-apa yuran keahlian terhadap organisasi politik liberal berkenaan.

“Nama dan logo PKR perlu diturunkan dalam laman sesawang organisasi politik berkenaan dan itu adalah usaha dilakukan PKR ketika ini.

“Jadi pihak parti telah memohon supaya PKR tidak ada apa-apa kaitan langsung dengan Liberal International secara rasmi,” katanya selepas merasmikan Majlis Sumbangan Deepavali di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, hari ini.

Jelas Fahmi, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam parti sejak 2013 dan tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam kongres mengenai keahlian PKR dalam organisasi terbabit.

“Kebiasaannya, apabila sesebuah parti menjadi ahli mana-mana organisasi, mereka akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan, bagaimanapun perkara itu tidak berlaku.

“Walaupun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menghadiri beberapa acara Liberal International berkenaan atas jemputan, ia tidak bermakna PKR adalah ahli organisasi terbabit.

“Tidak dinafikan bahawa pihak Liberal International pernah datang ke Malaysia sebelum ini dan Presiden PKR pernah menghadiri majlis mereka atas jemputan, malah menerima ucapan tahniah daripada mereka.

“Bagaimanapun, kehadiran berkenaan adalah bukan sebagai ahli dan ia tidak bermakna PKR adalah ahli dalam Liberal International,” katanya.

Semalam, Fahmi mendakwa terdapat wujud cubaan terancang pihak tertentu dengan mencuba mengaitkan parti itu dengan Liberal International.

PKR bukan dan tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International, tegas beliau lagi.

“PKR bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin serta mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel yang terus menzalimi, menekan dan membunuh rakyat Palestin,” katanya.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Terdahulu, terdapat hantaran yang tular di media sosial mengenai dakwaan PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel. – Bernama