Terdapat sekurang-kurangnya 320 pemegang pasport asing serta sejumlah mangsa perang Gaza yang cedera meninggalkan wilayah bergolak di Palestin melintasi sempadan Rafah pada Rabu.
Kumpulan itu merupakan yang pertama mendapat kebenaran berbuat demikian hasil daripada perjanjian yang dicapai melalui perantara kerajaan Qatar, kata sumber pihak berkuasa Mesir serta pegawai-pegawai kanan Palestin.
Melalui perjanjian yang termeterai antara Mesir, Israel dan Hamas, seramai 81 mangsa yang cedera dan senarai awal 500 pemegang pasport antarabangsa dijangka dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza dalam beberapa hari akan datang, jelas sumber dari beberapa negara asing kepada Reuters.
Sumber diplomatik pula berkongsi maklumat rancangan Mesir yang mahu memindahkan seramai 7,500 pemegang pasport asing dari Gaza dalam tempoh dua minggu akan datang, sambil menambah, Lapangan Terbang Al Arish akan dibenarkan untuk menerbangkan mereka keluar.
Kata sumber diplomatik itu lagi, berdasarkan rancangan awal juga, warga asing akan dipindahkan dari Gaza ke Kaherah melalui jalan darat sebelum dibenarkan menaiki pesawat pulang ke negara masing-masing dari ibu negara Mesir itu.
Keterbatasan rancangan pemindahan itu berlaku sejak tiga minggu lalu disebabkan Israel menutup akses sepenuhnya di Gaza, selain serangan udara yang dilancarkan telah menyebabkan wilayah bergolak itu mengalami kemusnahan yang teruk.
Dalam perkembangan sama, pegawai Palestin di Gaza berkata, warga asing akan menaiki enam buah bas yang ditempatkan di pintu sempadan itu dan akan melalui pemeriksaan keselamatan sebaik tiba di Mesir.
Terdahulu, sejumlah kecil mangsa yang cedera telah dipindahkan melalui ambulans dan menjalani pemeriksaan yang dikendalikan pasukan perubatan Mesir, dan kemudiannya merujuk mangsa-mangsa berkenaan ke pusat perubatan mengikut tahap kecederaan masing-masing.
Menurut Kementerian Kesihatan Mesir, seramai 16 mangsa dikejarkan ke beberapa hospital di utara Sinai, 11 ke Al Arish dan lima mangsa ke Bir al-Abd.
Mesir juga menyediakan hospital lapangan di Sheikh Zuweid yang jaraknya sekitar 15 kilometer dari Rafah untuk menyelamatkan mangsa perang Gaza.
Pemeriksaan kesihatan juga dikendalikan di sempadan berkenaan ke atas 117 warga asing sementara 35 kanak-kanak pula diberikan suntikan imunisasi.
Sejak tercetus perang pada 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 8,796 rakyat Palestinian maut termasuk 3,648 kanak-kanak, kata jurucakap Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza.
Tentera Israel melancarkan serangan selepas pasukan pejuang Hamas memulakan serangan pada tarikh berkenaan menyebabkan kematian 300 tentera Israel, 1,100 orang selain menawan lebih 200 tebusan, dakwa pegawai kanan Israel.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang pengesahan identiti atau warganegara mana-mana pemegang pasport asing yang pertama meninggalkan Gaza sejak perang tercetus.
Bagaimanapun, melalui senarai pasukan pertama warga asing yang diberi kebenaran meninggalkan Gaza, seperti dikongsi pihak berkuasa sempadan Gaza di akaun media sosial Facebook, menyenaraikan kumpulan rakyat asing itu ialah dari negara Jepun, Austria, Bulgaria, Indonesia, Jordan, Australia, Republik Czech dan Finland.
Senarai yang sama turut menyenaraikan petugas dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Antarabangsa Pertubuhan Palang Merah.
Sumber dari kerajaan Qatar turut memaklumkan, warganegara dari negara Islam diberikan keutamaan, sementara rakyat dari negara-negara lain yang akan dipindahkan pula disenaraikan mengikut aturan abjad negara masing-masing.
Difahamkan, dijangka yang pertama akan meninggalkan Gaza adalah dua doktor Filipina yang berkhidmat dengan pasukan perubatan Doctors Without Borders (MSF), kata pegawai kanan Kementerian Luar Filipina.
Turki juga tidak ketinggalan sedang berurusan bagi membolehkan rakyatnya dipindahkan terlebih dahulu, kata Menteri Luarnya, Hakan Fidan.
Hanya mereka yang sudah memperoleh jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Mesir dibenarkan melintasi sempadan lantaran peningkatan kawalan keselamatan oleh Mesir. – Astro Awani